BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, September 23

Balasan sentiasa setimpal

Kita mengenal sebuah ungkapan arab yang berbunyi, “Al’jaza’ min jinsil ‘amal” yang jika diterjemahkan bermakna, “Balasan dari jenis yang sama dengan perbuatan”. Kita mengenal kata lain iaitu setimpal.

Kitab suci Al-Quran menyatakan dengan jelas bagaimana Allah SWT akan membalas setiap kelakuan manusia. Kebaikan tidak layak dibalas melainkan kebaikan juga. Dalam surah Ar-Rahman Allah berfirman, “Hal jazaul ihsan illal ihsan (Adakah balasan bagi kebaikan selain dari kebaikan)!?”

Allah SWT juga banyak menyatakan sifat adilNya yang tidak pernah akan zalim terhadap hamba-hambaNya. Dia memberikan kepada setiap makhlukNya kadar nikmat yang sama. Semua manusia diberikan petunjuk, diberikan akal, diberikan kehidupan, diberikan anggota tubuh dan diberikan segala-galanya, sesuai dengan kadaran yang adil di sisiNya. Allah tidak akan berlaku zalim terhadap hamba-hambaNya lalu memberikan balasan yang baik kepada perbuatan buruk atau balasan buruk kepada perbuatan baik. Wamallahu bizollamin bil ‘abid..

Kisah menarik yang sampai kepada kita ketika seorang pemimpin bernama Hajjaj ingin membunuh Saad dengan zalim, berkatalah Hajjaj, “Pilihlah kematian seperti apa yang engkau inginkan?”. Saad menjawab dengan penuh keyakinan, “Engkaulah yang harus memilih kematian seperti apa yang engkau inginkan, sesungguhnya Allah akan mematikan engkau seperti mana engkau mematikan aku!” (atau seperti yang diceritakan).

Bersumber dari makna ini banyak ayata-ayat, hadis-hadis, pepatah atau kata-kata hikmah yang diwariskan dari mereka yang mendahului kepada kita. Seperti yang berikut ini, ‘imal ma syi’ta fainnaka majziyyun bihi (lakukanlah apa yang engkau inginkan sesungguhnya engkau akan dibalas dengan apa yang engkau kerjakan itu), ‘ish ma syi’ta fainnaka mayyit, wa ahbib man syi’ta fainnaka murafiquhu, wa’mal ma syi’ta fainnaka majziyyun bihi (hiduplah sepertimana yang engkau inginkan sesungguhnya engkau adalah mayat, dan cintailah sesiapa yang engkau inginkan sesungguhnya engkau akan berpisah dengannya, dan lakukanlah apa yang engkau inginkan sesungguhnya engkau akan dibalas dengan apa yang engkau kerjakan itu. Yang lain berbunyi, wala taziru waziratin wizra ukhra (dan tidak akan berdosa seseorang dengan dosa orang lain). Ertinya, seseorang tidak menanggung kesalahan dan beban yang dilakukan orang lain.

Ramai orang yang kebingungan dalam menjalani hari-hari mereka. Suasana dunia yang kini penuh dengan pelbagai warna membuat keadaan semakin teruk. Banyak masalah maka banyak pula cara menyelesaikan masalah. Semua orang ingin berbuat sesuatu demi memperbaiki keadaan, maka lahirlah banyak warna dan bentuk bekerja. Namun, kebingungan ini selamanya tidak menjadi masalah jika setiap individu dicerahkan dengan ilmu. Setiap individu yang memahami bahawa setiap tindakkannya adalah tangungannya sendiri tidak akan hilang perhitungan kerana dia melakukan segala sesuatu dengan penuh kesedaran. Jika baik maka baiklah balasan yang akan dia miliki. Ada orang malah sibuk menilai usaha orang lain dari pandangan yang terlalu jauh. Sehingga mereka menafikan sesuatu yang baik hanya kerana sebab-sebab sentimen. Ini banyak berlaku dalam persaingan parti politik dan bahkan persatuan-persatuan atau badan-badan gerakkan.

Pernah ada yang kebingungan akan perihal mudah ini dan bertanya, “Ust, mengapa ust tidak marah atas apa yang telah mereka katakan pada ust. Bukankah apa yang mereka katakan itu semuanya fitnah. Saya tahu dan lihat apa yang ust perbuat, sama sekali tidak sama dengan apa yang mereka tuduh?”

“Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda “jangan marah!” ” Ust itu ingin mengajak anak didiknya itu berfikir.

“Ya betul. Tapi hal ini lain. Manusia ada batasannya. Kadang-kadang kita perlu juga balas mereka ini. Sebagai pengajaran untuk mereka.” Anak itu masih terbakar emosi.

“Wah! bahaya kalau sudah emosi menguasai diri. Cuba kamu renungkan siapa yang mereka hina, siapa yang mereka tuduh dan siapa yang mereka fitnah? Seandainya yang mereka hina, tuduh dan fitnah itu adalah diri kita selaku manusia, mengapa perlu kita marah? Kita tidak terdedah dari kesalahan dan kekurangan. Jika mereka hina, tuduh dan fitnah sekali pun ia tidak menjejaskan apa-apa kepada kita. Seandainya kita membalas apa yang mereka lakukan kepada kita, maka apa bezanya kita dengan mereka?” Ust itu kembali mempersoalkan prinsip dan nilai yang perlu diterapkan dalam kepanasan usia anak muda ini.

“Jadi berdiam diri dan tidak membela diri itu adalah lebih baik dari menyatakan kebenaran!?” Anak muda itu masih tidak terima.

“Sudah tentu, segala amal kita, baik dan buruk akan kita tanggung. Mereka melakukan apa yang mereka lakukan dan mereka bakal menerima balasan atas kelakukan mereka itu. Jika kita juga ingin melakukan sepertimana yang mereka lakukan maka nantikanlah balasan yang akan kita terima sepertimana yang mereka terima. Itulah sebabnya ada ayat yang ertinya, dan hamba-hamba Allah adalah mereka yang berjalan di atas muka bumi dengan tenang, dan apabila orang jahil berkata kepada mereka, mereka hanya membalas dengan kata-kata, ’salam (kesejahteraan)’. Jadi mereka membiarkan orang jahil dengan apa yang mereka sangkakan. Sehingga pertelingkahan yang merugikan tidak menjejas usaha hamba-hamba Allah dalam menjalankan tugas mereka.”

Manusia seringkali sibuk dengan apa yang ditakutkan pada orang lain. Takut apa orang lain kata. Takut apa orang lain sangka. Takut apa orang lain tuduh dan seribu satu perkara yang ditakutkan atas orang lain. Lupakah kita bahawa segala apa yang kita lakukan adalah kerana Allah SWT semata-mata. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda, “.. jika kalian meminta maka mintalah kepada Allah. Dan ketahuilah sesungguhnya satu umat (seluruh manusia) berkumpul untuk memberi faedah kepadamu, sungguh tidak akan berfaedah bagimu melainkan telah Allah tuliskan faedah tersebut untuk kamu, dan seandainya satu umat (seluruh manusia) berkumpul demi memudaratkan kamu maka tidak akan mudarat ke atas kamu melainkan jika Allah telah menuliskan mudarat tersebut ke atas kamu..”??

Anda berhak berkata apa saja dan melakukan apa saja kepada sesiapa tetapi ingat, anda jugalah yang akan menanggung segala apa yang dikatakan dan dilakukan tersebut. Dan begitu juga sebaliknya.

Mereka yang memahami konsep ini juga akan sentiasa melihat ke hadapan. Begin with the end in mind adalah salah satu bentuk sikap proaktif setelah memahami konsep balasan yang setimpal. Bagaimana demikian? Sebanyak mana anda makan sebanyak itu jugalah kekenyangan yang akan anda rasakan. Sehebat usaha kita, sehebat itu jugalah hasil yang bakal kita raih. Maka, jika seseorang ingin meraih pencapaian yang cemerlang adalah wajar baginya untuk berkira-kira usaha apa yang akan menjadi mahar meraih cita-citanya itu. Dengan demikian, segala apa yang kita mulakan sentiasa diperjelas dengan apa yang akan kita akhirkan. Jika tidak, usaha kita mungkin tidak tersusun dan lebih menyedihkan lagi, usaha kita akan kurang kesan dan pengaruhnya atau sia-sia.

Ciptalah peluang untuk memaksimumkan amalan dan bakti agar kita mendapatkan hasil dan ganjaran yang maksimum juga. Inilah kata-kata yang perlu sentiasa kita pegang. Bagi kita yang akan menghadapi peperiksaan dalam masa dekat perlulah merenung hal ini. Penulis sendiri hanya memiliki dua puluh hari lagi sebelum menduduki peperiksaan akhir. Adalah selayaknya bagi kita untuk memperuntukkan usaha yang sangat tinggi jika menginginkan keputusan yang cemerlang.

0 comments: